Ahad, 16 Oktober 2011

Pertandingan Bercerita

Hai , anak-anak !  Macam mana dengan persiapan menghadapi peperiksaan ? Sambil berehat,  mari kita lihat video pertandingan bercerita ini .

Selasa, 11 Oktober 2011

Penjodoh Bilangan


Penjodoh Bilangan

-          Merupakan kata yang digunakan bagi menyatakan bilangan sesuatu benda, tempat, hal, perkara dan manusia. Contohnya sebiji, sebuah, sekuntum dan sebagainya.

Penjodoh  Bilangan
Penggunaannya
ikat
Untuk membilang benda-benda yang diikat seperti kayu,sayur-sayuran dan sebagainya
naskah
Untuk membilang bahan bacaan seperti buku,majalah surat khabar dan sebagainya.
cubit
Untuk membilang benda-benda yang diambil sedikit dengan hujung jari seperti garam, gula dan sebagainya
cucuk
Untuk membilang benda-benda yang dicucuk dengan lidi seperti sate,buah-buahan,bebola ikan dan sebagainya.
rawan
Untuk membilang benda-benda yang halus, labuh dan bersirat seperti jala, jaring pukat dan sebagainya.
tandan
Untuk membilang gugusan buah yang bertandan seperti kelapa,pisang dan sebagainya.
utas
Untuk membilang benda-benda yang halus dan panjang seperti gelang,dawai, sebagainya.
rumpun
Untuk membilang tumbuhan yang tumbuh secara rumpun seperti buluh,serai dan sebagainya
pasang
Untuk membilang benda-benda yang berpasangan seperti kasut,baju,anting-anting dan sebagainya.

Kata Tanya

Hai, apa khabar anak-anak ? Hari ini cikgu masukkan pula tentang  kata tanya. Apabila sudah faham , kita akan menguji minda kita dengan Ujilah Minda. Kita akan semak jawapan bersama-sama.....

Kata Tanya  digunakan untuk membentuk ayat-ayat tanya bagi menanyakan manusia, benda, tempat dan bilangan.  Kata Tanya terdiri daripada apa, siapa,bila, mana, berapa, bagaimana dan mengapa. Soalan kata tanya akan diakhiri dengan tanda soal atau tanda tanya ( ? )

apa    - untuk menanyakan benda atau haiwan
siapa  - untuk menanyakan orang
bila    - untuk menanyakan masa
mana - untuk menanyakan tempat atau benda
berapa - untuk menanyakan bilangan,jumlah dan harga
bagaimana - untuk menanyakan keadaan atau cara
mengapa - untuk menanyakan sebab

Rabu, 5 Oktober 2011

Mari Belajar Tatabahasa Bersama CG ZTY'S

Kata Seru

- Ialah perkataan yang mengambarkan perasaan  sama ada marah, gembira, merayau, terkejut, sakit dan sebagainya.  Antara kata seru ialah wah,cis, wahai, amboi,nah, aduhai dan sebagainya.


Kata Seru
Maksud
hai
Menyapa, menarik perhatian seseorang
cis
marah
wahai
Menarik perhatian, menyatakan nasihat
nah
Memberikan sesuatu dalam keadaan marah
ah
Tidak bersetuju
eh
Hairan, terkejut
oh
Kecewa,terkejut, hairan
aduhai
sedih
Wah/amboi
Kagum, hairan
aduh
sakit

Permainan Tradisional: Gasing


PERMAINAN TRADISIONAL
Permainan tradisional berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Perkara utama yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini. Di antara permainan itu termasuklah , congkak, wau, batu seremban, sepak raga, gasing dan lain-lain.

Permainan Gasing

Pengenalan
Gasing popular di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutama di Kelantan. Terdapat pelbagai jenis gasing di Malaysia seperti gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang. Kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.


Cara Bermain Permainan Gasing
Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing.

Gasing pinang pula dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu.

Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.